PERMULAAN TEMPOH PERALIHAN MONSUN BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 28 MAC 2022

28 Mar 2022

Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas Monsun Timur Laut dan sebelum memasuki Monsun Barat Daya. Tempoh peralihan monsun ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan Mei.

Sepanjang tempoh ini, ketiadaan luruan angin monsun telah membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita. Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi bulan April ialah 16 hari dan bagi bulan Mei ialah 18 hari.

Sepanjang tempoh ini negara lazimnya mengalami:

• Keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengahari;
• Ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari;
• Tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut pada waktu petang; dan
• Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.