PENJELASAN BERIKUTAN VIDEO TULAR ANIMASI GRAFIK HUJAN BAGI RANTAU ASIA TENGGARA 23 DISEMBER 2021
23 Dec 2021
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menjelaskan mengenai video yang tular di media sosial pada masa ini yang menunjukkan satu animasi grafik jumlah turunan hujan yang bermula pada 20hb Disember 2021 sehingga 30hb Disember 2021 bagi rantau Asia Tenggara yang diambil dari salah satu aplikasi mudah alih mengenai cuaca.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin memaklumkan bahawa animasi tersebut menunjukkan ramalan jumlah turunan hujan yang terkumpul bagi tempoh 24 jam, 3 hari, 5 hari dan 10 hari akan datang bagi rantau Asia Tenggara.
Ramalan turunan hujan tersebut adalah pada amnya normal dengan keadaan cuaca di musim tengkujuh, Monsun Timur Laut yang pada masa ini dialami di rantau kita.
Dalam hal ini, bagi negara kita Brunei Darussalam, memandangkan kita masih berada di musim tengkujuh, pada lazimnya cuaca tidak menentu dengan hujan sekali sekala lebat dijangka berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi. Cuaca aktif diramalkan bermula dari 25hb Disember 2021 hingga 31hb Disember 2021.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak berasa resah dan untuk terus mengikuti maklumat cuaca rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan ini. Pihak Jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Di samping itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).
Wallahu a’lam Bissawab.