KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 15 DISEMBER 2021

15 Dec 2021

Keadaan Cuaca Secara Am:

Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam Monsun Timur Laut. Pada masa ini, Negara kita masih mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali sekala berlaku pada waktu malam sehingga awal pagi.

Pada pukul 08.50 pagi waktu tempatan hari ini (15 Disember 2021), Taufan ‘Rai’ telah dikesan di kawasan barat Lautan Pasifik (8.7°N 132.3°E) iaitu sekitar 2,047 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan ‘Rai’ diramal akan bergerak ke arah Barat Laut, menuju ke kawasan Laut China Selatan (sila rujuk Rajah 1.

Pada masa yang sama juga, satu sistem tekanan rendah dikesan di kawasan Selatan, Laut China Selatan.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam Bagi Tempoh Beberapa Hari Akan Datang:

Taufan ‘Rai’ dijangka secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam bermula dari 16 hingga 20 Disember 2021, menyebabkan keadaan cuaca aktif dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin kencang terutamanya di kawasan laut dan pesisiran pantai. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak boleh meningkat ke paras bergelora sehingga 2.5 meter.

Walau bagaimanapun, sistem tekanan rendah yang berada di kawasan Selatan, Laut China Selatan dijangka tidak akan mempengaruhi keadaan cuaca negara kita.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat, dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin. Keadaan laut adalah juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan scuba diving) semasa tempoh ini.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

Wallahu a’lam Bissawab.