PERMULAAN MONSUN TIMUR LAUT BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 29 NOVEMBER 2021

29 Nov 2021

Negara Brunei Darussalam akan memasuki Monsun Timur Laut pada awal bulan Disember 2021 dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2022. Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember 2021 dan Januari 2022) yang dikenali sebagai Musim Tengkujuh, pada lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Semasa tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

Berasaskan data klimatologi, bulan Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9 mm, manakala bulan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 320.6 mm. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Disember ialah 22 hari manakala bulan Januari pula ialah 18 hari.

Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac 2022), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan, di mana jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 162.9 mm dan bagi bulan Mac ialah 143.4 mm.

Semasa Musim Tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta risiko kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj.

Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku semasa Musim Tengkujuh ini. Keadaan laut adalah juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jet ski, dan scuba diving) semasa musim ini. Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

Tayangan perdana bagi taklimat cuaca kebangsaan mengenai Monsun Timur Laut akan disiarkan pada 30 November 2021 dan boleh disaksikan secara maya melalui laman YouTube (bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.