Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Negara Brunei Darussalam masih berada dalam Monsun Peralihan.
Pada masa ini, negara kita masih mengalami keadaan cuaca yang aktif terutamanya pada waktu petang dan malam. Walaubagaimanapun, hujan berintensiti lebat diramalkan berlaku pada 12 November 2021 dan 13 November 2021 disebabkan oleh pembentukan awan hujan dan ribut petir yang aktif di kawasan negara kita. Hujan dan ribut petir dijangka sekali-sekala lebat dan berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1.0 m sepanjang minggu ini.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian hujan berintensiti lebat yang diramalkan berlaku. Risiko berlakunya banjir dan banjir kilat adalah tinggi terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang
www.met.gov.bn atau melalui laman
Facebook @bruneiweather dan
Instagram @bruneiweather.
Wallahu a’lam Bissawab.