KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 20 OKTOBER 2021

20 Oct 2021

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:

Negara Brunei Darussalam masih berada dalam Monsun Peralihan.

Cuaca negara dijangka aktif pada minggu ini sehingga 25 Oktober 2021 disebabkan oleh pembentukan awan hujan dan ribut petir yang aktif di kawasan negara kita dan seterusnya meningkatkan jumlah turunan hujan.

Ribut petir dijangka berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak luas, dan kadangkalanya lebat, semasa ribut petir tersebut bergerak ke kawasan pesisiran pantai dan laut pada waktu malam. Hujan dijangka lebat dan sekali-sekala berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj.

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1.0 m sepanjang minggu ini.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

Wallahu a’lam Bissawab.