PERMULAAN TEMPOH PERALIHAN MONSUN BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 01 OKTOBER 2021

01 Oct 2021

Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut. Tempoh peralihan monsun ini dijangka akan berakhir pada sekitar hujung November 2021.

Sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan iaitu bayu laut (sea breeze) dan bayu darat (land breeze) memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita. Berasaskan data klimatologi, bulan Oktober, November dan Disember adalah bulan-bulan di mana kejadian ribut petir lebih kerap berlaku dan menerima jumlah turunan hujan yang lebih banyak, dan juga lebih banyak hari-hari berhujan jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Pada lazimnya bulan Oktober menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 313.6 mm manakala bulan November menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 322.9 mm iaitu satu jumlah turunan hujan yang kedua tertinggi bagi negara kita. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Oktober ialah 23 hari manakala bulan November pula ialah 24 hari.

Sepanjang tempoh ini, negara lazimnya mengalami:
• Keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengahari;
• Ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari;
• Tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut pada waktu petang; dan
• Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

Wallahu a’lam Bissawab.