KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 30 OGOS 2021

30 Aug 2021

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:

Negara Brunei Darussalam masih berada dalam Monsun Barat Daya.

Cuaca negara dijangka aktif sehingga hujung minggu ini terutamanya pada 31 Ogos, 1 dan 3 September 2021
disebabkan oleh kombinasi angin tempatan dengan pertembungan luruan angin berdekatan dengan kawasan negara
kita. Keadaan ini menyebabkan pembentukan awan hujan menjadi lebih aktif dan seterusnya meningkatkan jumlah
turunan hujan.

Hujan di kawasan pesisiran dan hujan berpetir di kawasan pedalaman dijangka berlaku pada waktu petang, kemudian
bergerak ke kawasan laut pada waktu malam. Keadaan hujan sekali-sekala dijangka berlanjutan sehingga waktu pagi.
Hujan dijangka lebat sekali-sekala dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj.

Di kawasan perairan Negara, ketinggian ombak dijangka meningkat sehingga 1.0 m semasa hujan.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya
di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa
keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan,
nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil
langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca
jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit
kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau
amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal
cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang
www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.