KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 18 FEBRUARI 2021

18 Feb 2021

Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa kedua musim Timur Laut, dan secara relatif, bulan Februari dikategorikan sebagai bulan kedua terkering dari segi jumlah turunan hujan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Walaubagaimanapun, sejak 1hb Februari hingga semalam (17hb Februari), jumlah turunan hujan yang telah direkodkan di Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah sebanyak 204.3 mm, iaitu lebih 20% daripada jumlah purata jangka panjang (1991-2020) bagi bulanFebruari (iaitu 162.9 mm).

Keadaan Cuaca BruneiDarussalam:
Berdasarkan model turunan hujan berangka yang terkini, Negara Brunei Darussalam diramal akan masih mengalami aktiviti turunan hujan sehingga hujung minggu ini, dan keadaan cuaca dijangka menjadi baik mulai minggu depan.

Keadaan angin boleh menjadi kencang mencapai sehingga 40 kmsj semasa hujan berpetir terutama di kawasan laut.

Keadaan Laut Brunei Darussalam:
Luruan angin Timur Laut kuat di kawasan Laut Cina Selatan akan menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di kawasan perairan negara. Bermula hari ini keadaan laut berada di paras sederhana dengan ketinggian ombak 1.5 meter dan dijangka akan meningkat ke paras bergelora 2.0 meter pada hari Sabtu.

Nasihat Kami:
Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jetski, scuba diving dan lain-lain). Para pelaut dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil kira ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dalam membuat perancangan ke laut ataupun mengambil langkah-langkah awal yang bersesuaian untuk memastikan keselamatan.

Orang ramai dan juga para pemandu di jalan raya adalah juga dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan kejadian hujan lebat ataupun risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangankeadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.