KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 13 JANUARI 2021

31 Dec 2020

Keadaan Secara Am:

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Timur Laut, yang mana lazimnya, keadaan
cuaca dalam tempoh ini adalah tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala. Bermula tahun ini sehingga 12hb Januari, Negara kita telah mengalami hujan setiap hari dan Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telahpun merekodkan jumlah turunan hujan sebanyak 277.1 mm. Mengikut purata jangka panjang, jumlah turunan hujan bagi keseluruhan bulan Januari adalah 308 mm.

Peningkatan aktiviti dan jumlah turunan hujan di Negara Brunei Darussalam ini adalah dipengaruhi oleh kombinasi sistem tekanan rendah yang berada di kawasan utara Borneo dan juga luruan angin Timur Laut yang kuat berada di rantau kita.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:

Curahan hujan lebat yang berlaku semalam bertumpu di kawasan Daerah Brunei Muara, Daerah Tutong dan di kawasan pesisiran Daerah Belait, telah menyebabkan kejadian banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Keadaan air pasang semasa hujan lebat juga telah menyebabkan banjir berlaku di
kawasan-kawasan berhampiran tebing sungai.

Berpandukan Model Ramalan Cuaca Berangka yang terkini menunjukkan secara keseluruhannya keadaan cuaca tidak
menentu di Negara Brunei Darussalam akan berterusan dengan hujan sekali-sekala lebat sehingga hari Selasa, 19hb Januari. Hujan atau hujan berpetir dijangka berlaku terutama pada sebelah petang dan malam, dan boleh berlanjutan sehingga subuh. Dalam keadaan cuaca sebegini, masih terdapat risiko banjir dan banjir kilat berlaku.

Keadaan angin boleh menjadi kencang mencapai sehingga 45 kmsj semasa hujan lebat.

Keadaan Laut Brunei Darussalam:

Luruan angin Timur Laut kuat yang berlaku di kawasan Laut Cina Selatan pada masa ini akan menyebabkan
peningkatan ketinggian ombak di kawasan perairan negara. Keadaan laut dijangka berada di paras sederhana hingga bergelora dengan ketinggian ombak mencapai 3.0 meter sehingga minggu depan.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasankawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang.

Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jetski, scuba diving dan lain-lain).

Orang ramai, para pemandu jalan raya dan para pelaut adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil kira ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dalam membuat perancangan ataupun mengambil langkah-langkah awal yang bersesuaian untuk memastikan keselamatan, begitu juga bagi mengelakkan kerosakan harta benda.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan
akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan
dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat
Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman
sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.