KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 31 DISEMBER 2020
31 Dec 2020
Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sedang berada dalam Monsun Timur Laut. Pada lazimnya, keadaan cuaca adalah tidak menentu pada musim ini dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala berlaku. Bulan Disember dan Januari adalah bulan-bulan yang merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi dan juga jumlah turunan hujan yang tertinggi berbanding bulan- bulan lain.
Luruan angin Timur Laut yang kuat di kawasan Laut China Selatan pada masa ini dijangka akan menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei.
Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca di Negara Brunei Darussalam untuk beberapa hari akan datang dijangka akan dipengaruhi oleh perolakan angin tempatan dengan hujan berasingan di kawasan pesisiran dan hujan berpetir di kawasan pedalaman. Kelajuan angin boleh mencapai sehingga 45 kmsj semasa hujan berpetir.
Keadaan Laut Brunei Darussalam:
Luruan angin Timur Laut di kawasan Laut Cina Selatan akan menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di kawasan perairan negara. Ketinggian ombak dijangka meningkat ke paras bergelora sehingga mencapai ketinggian 3.0 meter mulai malam ini (Khamis, 31 Disember 2020) hingga hari Ahad, 03 Januari 2021.
Nasihat Kami:
Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jetski, scuba diving dan lain-lain). Para pelaut dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil kira ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dalam membuat perancangan ke laut ataupun mengambil langkah-langkah awal yang bersesuaian untuk memastikan keselamatan.
Orang ramai dan juga para pemandu di jalan raya adalah juga dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan kejadian hujan lebat ataupun risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.
Wallahu a’lam Bissawab.