KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 25 NOVEMBER 2020

25 Nov 2020

Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini adalah dalam Musim Peralihan. Semasa Musim Peralihan, cuaca hujan berpetir pada biasanya aktif berlaku pada waktu petang dan malam.

Keadaan cuaca yang aktif dijangka berlaku di Negara kita sehingga hujung bulan ini disebabkan oleh pengaruh sistem tekanan rendah yang terletak di kawasan Barat pulau Borneo.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Hujan lebat dan berpetir, dijangka kerap berlaku pada lewat petang hingga lewat malam bermula dari kawasan pedalaman negara merebak ke kawasan pesisiran dan kawasan laut. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga hujung bulan November ini.

Hujan lebat dan berpetir dijangka kadang kala disertai dengan angin kencang dengan kelajuan sehingga 50 kmsj.
Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan Brunei Darussalam adalah di paras Sederhana sehingga 1.5 meter dan masih berbahaya kepada pengguna bot-bot kecil terutama semasa hujan berangin ribut.

Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.