KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 31 OKTOBER 2020

31 Oct 2020

Keadaan Secara Am:
Pada masa ini, pembentukan sistem siklon masih aktif di kawasan Barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
Pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan hari ini, Super Typhoon ‘Goni’ berada di lokasi 15.3°N 128.8°E, di kawasan Barat Laut Pasifik, iaitu sekitar 1,880 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Super Typhoon ‘Goni’ diramal akan bergerak ke arah Barat, menjauhi Negara kita.

Di samping itu, satu sistem Lekukan Tropika ‘Atsani’ juga dikesan di kawasan Barat Lautan Pasifik dilokasi 14.9°N 137.6°E iaitu sekitar 2,694 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Lekukan Tropika ini diramal akan bergerak ke arah Barat Laut menghampiri Negara Filipina.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca di Negara Brunei Darussalam untuk beberapa hari akan datang dijangka masih tidak menentu. Hujan atau hujan berpetir berlaku pada lewat malam ke awal pagi terutama di kawasan perairan negara dan sekali sekala merebak ke kawasan darat. Hujan berangin juga dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh mencapai sehingga 40 kmsj.

Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan Brunei Darussalam adalah masih di paras Sedikit ke Sederhana sehingga 1.3 meter.

Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.