KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 26 OKTOBER 2020
26 Oct 2020
Keadaan Secara Am:
Pada pukul 5.00 pagi waktu tempatan hari ini, Taufan ‘Molave’ telah dikesan di Negara Filipina (13.2°N 121.3°E) iaitu sekitar 1,333 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan ‘Molave’ diramal akan bergerak ke arah Barat Laut, menjauhi Negara kita.
Keadaan Cuaca Brunei Darussalam Bagi Tempoh Beberapa Hari Akan Datang:
Taufan ‘Molave’ dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat berserta angin kencang berlaku sekali-sekala. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50 kmsj semasa hujan lebat.
Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan Brunei Darussalam adalah di paras Sederhana ke Bergelora sehingga 2.5 meter.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu.
Orang ramai bolehlah mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.
Disamping itu juga, kami ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu dan mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut supaya menghentikan penyebarannya kerana ianya boleh mengakibatkan keresahan orang awam.
Wallahualam bissawab.