KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 OKTOBER 2020

24 Oct 2020

Keadaan Secara Am:
Pada pukul 2.00 petang waktu tempatan hari ini, Ribut Tropika Kuat ‘Saudel’ berada di kawasan Utara Laut China Selatan (17.8°N 112.6°E) iaitu sekitar 1,467 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Ribut Tropika Kuat ‘Saudel’ diramal akan bergerak ke arah Barat, menjauhi Negara kita.

Di samping itu, satu lekukan tropika telah dikenalpasti di kawasan Barat Lautan Pasifik (11.8°N 131.4°E) iaitu sekitar 1,946 km jauh dari Negara Brunei Darussalam.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca yang tidak menentu masih dijangka berlaku sehingga ke penghujung minggu depan. Hujan lebat dan kadang kala disertai angin kencang dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 50 kmsj.

Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan Brunei Darussalam adalah di paras Sederhana ke Bergelora sehingga 2.0 meter.

Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.