KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 22 OKTOBER 2020
22 Oct 2020
Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sedang menghampiri penghujung Monsun Barat Daya. Pada masa ini, Negara kita masih mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dengan sekali sekala berlaku hujan lebat berserta angin kencang yang disebabkan oleh pembentukkan sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di kawasan Barat Lautan Pasifik dan kawasan Laut China Selatan.
Pada pukul 2.00 petang waktu tempatan hari ini, Taufan ‘Saudel’ berada di kawasan Utara Laut China Selatan (17.0°N 115.8°E) iaitu sekitar 1,324km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan ‘Saudel’ diramal akan bergerak ke arah Barat, menjauhi Negara kita.
Keadaan Cuaca Brunei Darussalam Bagi Tempoh Beberapa Hari Akan Datang:
Keadaan cuaca yang tidak menentu dijangka berlaku sehingga ke hujung minggu terutama di kawasan laut. Hujan lebat dan kadang kala disertai angin kencang dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh mencapai sehingga 50 kmsj.
Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan Brunei Darussalam adalah di paras Sederhana ke Bergelora sehingga 2.0 meter.
Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.
Wallahu a’lam Bissawab.