KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 18 JULAI 2020
18 Jul 2020
Negara Brunei Darussalam masih berada dalam Monsun Barat Daya dimana keadaan angin secara amnya bertiup dari arah Barat Daya.
Pada Musim Barat Daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa Monsun Peralihan pada bulan April dan Mei. Musim Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar bulan Ogos, Negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.
Data kajicuaca terakhir menunjukan tidak ada sistem ribut tropika dikesan di rantau kita pada masa ini.
Manakala, ramalan cuaca bagi beberapa hari akan datang masih dipengaruhi oleh kesan angin tempatan dengan pembentukan hujan dan hujan berpetir di kawasan pedalaman pada waktu petang dan bergerak menuju kawasan laut pada akhir petang atau awal malam. Hujan atau hujan berpetir dijangka sekali sekala lebat dan berangin dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 50 kmsj.
Ramalan keadaan ombak bagi beberapa hari akan datang berada di paras sedikit iaitu di bawah 0.6 meter.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca
Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan terus mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu a’lam Bissawab