KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 23 JUN 2020

23 Jun 2020

Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam Monsun Barat Daya dimana keadaan angin secara amnya bertiup dari arah Barat Daya.

Pada Musim Barat Daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa Monsun Peralihan pada 2 bulan yang lalu. Musim Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar bulan Ogos, Negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Data kajicuaca terakhir menunjukan tidak ada sistem ribut tropika dikesan di rantau kita pada masa ini. Manakala ramalan cuaca bagiminggu ini, keadaan cuaca di Negara kita berpotensi dipengaruhi oleh kesan tekanan udara rendah yang dijangka berlaku sekali-sekala di sekitar Pulau Borneo. Keadaan ini akan meningkatkan aktiviti konvektif awan dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Hujan atau hujan berpetir berpotensi berlaku di kebanyakkan kawasan negara untuk beberapa hari pada minggu ini.

Manakala itu ramalan keadaan ombak pada minggu ini berada di paras sedikit iaitu antara 0.3 ke 0.6 meter dan berkemungkinan meningkat ke paras sederhana dan bergelora iaitu sekitar 1.8 ke 2.2 meter pada hari Jumat dan hingga pagi hari Sabtu.

Nasihat kami, semasa keadaan hujan lebat atau hujan berpetir, adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan terus mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.