KEADAAN CUACA TERKINI BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 13 JUN 2020

13 Jun 2020

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di bulan pertama Musim Barat Daya yang lazimnya keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir berkurangan. Musim Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar bulan Ogos, Negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Pemantauan Ribut Tropika
Satu sistem tekanan rendah yang telah menjadi Ribut Tropika dikenali sebagai NURI telah dikesan pada hari ini jam 2.00 petang waktu tempatan. Ribut Tropika NURI dicatatkan berada di koordinat 19.6°N 115.0°E,
di kawasan Tenggara Hong Kong, sekitar 1600 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Ribut Tropika NURI tersebut dijangka bergerak ke arah Barat Laut menjauhi Negara kita. Ribut Tropika NURI dijangka tidak akan menjejaskan keadaan cuaca di Negara kita.

Keadaan Cuaca Brunei
Secara amnya, cuaca dijangka sebahagiannya berawan di beberapa hari yang akan datang selain dari hujan berpetir setempat yang masih berpotensi berlaku di beberapa tempat. Sementara itu, keadaan laut di perairan Brunei dijangka akan mencapai paras sederhana hingga 1.2 meter sepanjang minggu ini.

Nasihat Kami
Semasa keadaan hujan lebat atau hujan berpetir, adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.