FENOMENA CUACA IRIDESCENCE DICERAP DI BRUNEI DARUSSALAM

08 Jun 2020

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) ingin mengongsikan dengan orang ramai mengenai satu fenomena cuaca yang dikenali sebagai Iridescence, diperhatikan pada hari Khamis,
4 Jun 2020 sekitar jam 6.00 petang di kawasan Rimba, Gadong.

Iridescence adalah warna-warna yang muncul pada awan, ada kalanya warna-warna ini bercampur dan kadangkalanya terjadi dalam bentuk jalur hampir selari dengan batas awan. Warna hijau dan merah jambu pastel paling kerap dilihat. Warna warni atau iridisen yang sering kalinya cerah, menyerupai warna yang terdapat pada ibu mutiara (mother of pearl). Dalam jarak sekitar 10° dari matahari, belauan (diffraction) adalah penyebab utama fenomena cuaca Iridescence ini. Jika ia melebihi 10°, gangguan (interference) biasanya merupakan faktor utama. Iridescence dapat memanjang hingga sudut melebihi 40° dari matahari dan bahkan pada jarak sudut ini, warnanya mungkin lebih cerah.

Fenomena ini jarang dilihat di Brunei Darussalam. Ianya cenderung berlaku semasa cuaca baik disertai dengan beberapa awan tinggi. Gambar menunjukkan Iridescence berlaku di awan Cirrostratus terbuat dari kristal-kristal ais kecil yang menyebarkan cahaya.

Penggemar-penggemar awan boleh mengongsikan koleksi gambar-gambar awan dengan Jabatan kami melalui Facebook atau Instagram kami @bruneiweather. Untuk mengetahui atau pertanyaan yang lebih lanjut mengenai awan-awan yang berbeza dicerap di Brunei Darussalam, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada kami di contact@met.gov.bn dan juga boleh menghubungi Peramal Cuaca melalui Talian Cuaca 114 untuk sebarang maklumat lanjut mengenai cuaca.