KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 04 JUN 2020

04 Jun 2020

Negara kita akan beralih dari Musim Peralihan ke Musim Barat Daya dan dijangkakan bermula pada minggu depan.
Keadaan angin yang secara amnya perlahan dan bertiup dari berbagai arah akan mula bertukar bertiup dari arah Barat Daya.

Pada Musim Barat Daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasaMonsun Peralihan pada 2 bulan yang lalu. Musim Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar bulan Ogos, Negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Musim Barat Daya juga adalah selari dengan musim aktif pembentukan sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Sekiranya sistem siklon dikesan, tertakluk kepada jarak lokasi sistem tersebut daripada kawasan Negara kita, Negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali sekala berlaku hujan ribut petir berserta angin kencang.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan terus mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Peramal Kajicuaca yang
bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.