AWAN MAMMA ATAU MAMMATUS DICERAP DI BRUNEI DARUSSALAM

20 May 2020

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) ingin memaklumkan orang ramai mengenai satu fenomena cuaca:Awan Mamma atau Mammatus yang diperhatikan semalam, 19 Mei 2020 sekitar jam 6.30 petang di Negara kita.

Ia adalah salah satu formasi awan yang sangat ketara dengan rangkaian tonjolan atau kantung yang muncul dari dasar awan. Bentuk formasi Awan Mammatus boleh berbeza-beza: dari bentuk menonjol yang klasik, ke bentuk tiub yang lebih memanjang yang tergantung di bawah awan.

Lazimnya di Negara kita, Awan Mammatus berkait rapat dengan Awan Cumulonimbus. Jenis awan ini bukan jarang dilihat di Brunei Darussalam kerana awan ribut petir konvektif, Cumulonimbus mudah terbentuk semasa keadaan sangat panas di waktu petang. Oleh itu, jika awda melihat Awan Mammatus pada hari yang cerah seperti kelmarin, ia adalah petanda ribut petir sedang berlaku di kawasan berhampiran.

Untuk mengetahui jenis-jenis awan yang pernah dicerap di Negara Brunei Darussalam, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook dan Instagram @bruneiweather atau menghubungi Talian Cuaca 114 untuk sebarang maklumat lanjut mengenai cuaca.