KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 5 MAC 2020
07 Mar 2020
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga hujung bulan Mac 2020. Berdasarkan klimatologi Negara Brunei Darussalam, bulan Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan juga jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.
Sepanjang tempoh ini Negara pada lazimnya akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang stabil. Walau bagimanapun, hujan lebat atau hujan berpetir masih berpotensi berlaku jika terdapat gangguan sementara atmosfera di tahap rendah. Keadaan ini akan menggalakkan pembentukan awan dan seterusnya turunan hujan.
Ramalan am bagi Negara kita sehingga hujung minggu ini adalah pada amnya berawan. Manakala, hujan atau hujan berpetir mungkin berlaku di beberapa kawasan pesisiran pada waktu pagi dan di kawasan pedalaman Negara pada waktu sebelah malam. Kejadian hujan lebat setempat boleh meningkatkan risiko banjir kilat terutama di kawasan rendah dan mudah banjir.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu a'lam Bissawab.