KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 22 JANUARI 2020

12 Feb 2020

Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut sekitar hujung bulan Januari 2020 dan berterusan hingga hujung bulan Mac 2020. Berdasarkan klimatologi Negara Brunei Darussalam, bulan Februari dan Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan juga jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulanbulan lain.

Sepanjang tempoh ini negara pada lazimnya akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang stabil.

Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua Monsun Timur Laut adalah keadaan panas di waktu siang, dan ada kalanya suhu udara maksima meningkat antara 33 ke 35 darjah Celsius dan keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.

Ramalan am bagi tempoh seminggu akan datang adalah keadaan berangin di kawasan darat dan laut terutama pada waktu tengahari dan petang. Keadaan berangin juga dijangkakan boleh menyebabkan keadaan ombak meningkat ke paras bergelora yang mencapai ketinggian 2.0 meter yang mana ianya adalah merbahaya terutamanya kepada botbot kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan di laut.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang ww.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat
menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a'lam Bissawab