KEADAAN CUACA TERKINI BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 DISEMBER 2019

24 Dec 2019

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di separuh pertama Musim Monsun Timur Laut yang lazimnya akan menerima turunan hujan yang tinggi. Keadaan cuaca hujan dijangka akan berlaku dikebanyakkan hari sehingga ke penghujung bulan Januari 2020. Secara amnya cuaca adalah tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir berlaku pada waktu malam dan awal pagi.

Nasihat Ribut Tropika: Taufan PHANFONE

Pada 1:00 petang jam tempatan hari ini, Taufan PHANFONE dikesan di koordinat 11.0°N, 126.6°E, di bahagian timur Filipina, kira-kira 1,600 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan PHANFONE dijangka akan terus bergerak ke arah barat.

Keadaan Cuaca Brunei

Hujan, kadang-kala lebat dan berpetir, di Kawasan perairan Negara dijangka sekali-sekala bergerak dan menjejaskan Kawasan darat. Namun, keadaan laut berombak sedikit sehingga sederhana di paras antara 0.5 ke 1.4 meter.

Nasihat Kami

Semasa keadaan hujan berterusan dan lebat, adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Risiko kejadian tanah susur juga akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat berpanjangan melebihi dua jam. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora dan angin kencang adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak berasas melalui media-media sosial yang boleh mengakibatkan panik dan kekhuatiran kepada orang ramai. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.