KEADAAN CUACA TERKINI BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 05 DISEMBER 2019

07 Dec 2019

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di bulan pertama Musim Timur Laut yang lazimnya dijangka akan menerima turunan hujan yang tinggi. Keadaan cuaca adalah hujan dikebanyakkan hari di bulan ini dan secara amnya adalah tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir berlaku pada waktu malam dan awal pagi.

Pemantauan Taufan KAMMURI
Pembentukan 'KAMMURI' mula dikesan pada penghujung bulan November di Barat Laut Lautan Pasifik. Ianya telah bergerak menghala ke Barat dan melintasi Filipina pada 3 Disember 2019. Taufan 'KAMMURI' terus bergerak menghala ke Barat Laut dan kekuatannya telah menurun dan berubah kepada Ribut Tropika pada 4 Disember 2019. Pada pukul 11.00 pagi tadi, Ribut Tropika 'KAMMURI' berada di koordinat 13.9°N 114.1°E, di Laut Cina Selatan,
kira-kira 990 km jauh dari Negara Brunei Darussalam.

Ribut Tropika 'KAMMURI' dijangka akan terus bergerak ke arah Barat Daya dan kekuatannya diramalkan semakin berkurangan dalam tempoh 24 jam akan datang dan dijangka akan terus berkurangan menjadi Tekanan Rendah pada esok hari, 6 Disember 2019.

Keadaan Cuaca Brunei
Pergerakan Ribut Tropika 'KAMMURI' diramal akan terus mempengaruhi keadaan cuaca Negara kita sehingga hujung minggu ini. Hujan berangin dan hujan petir dijangka melintasi perairan Brunei dan kadang kala menjejaskan kawasan daratan pada hari Jumaat dan Sabtu. Keadaan laut boleh meningkat ke paras bergelora sehingga 3.0 meter dengan kelajuan angin meningkat sehingga 40-50 kmsj semasa hujan.

Nasihat Kami
Semasa keadaan cuaca aktif adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di
kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Risiko kejadian tanah susur juga akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat berpanjangan
melebihi dua jam. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang.
Keadaan laut bergelora dan angin kencang adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak berasas melalui media-media sosial yang boleh mengakibatkan panik dan kekhuatiran kepada orang ramai. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a'lam Bissawab.