KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 03 DISEMBER 2019
03 Dec 2019
1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Musim Monsun Timur Laut yang biasanya berterusan hingga bulan Mac. Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember dan Januari), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang tertinggi berbanding dengan bulan-bulan lain. Semasa tempoh ini, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi.
Pada hari ini (3 Disember 2019), Taufan 'KAMMURI' berada di koordinat 13.2 deg N 122.2 deg E, di Filipina, kira-kira 1200 km jauh daripada Negara Brunei Darussalam dan dijangka akan bergerak ke arah Barat Laut dalam tempoh 24 jam akan datang.
2. Keadaan Cuaca Brunei:
Keadaan cuaca Negara kita secara tidak langsung akan dipengaruhi oleh kesan 'tail-end' Taufan 'KAMMURI' bagi beberapa hari ini. Oleh itu, hujan berangin diperairan Brunei dijangka sekali sekala merebak ke kawasan pesisiran pantai. Manakala keadaan laut boleh mencecah diparas bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.0 meter dan kelajuan angin mencapai 40-50 kmsj.
3. Nasihat Kami:
Semasa Musim Tengkujuh adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian bahawa risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan risiko kejadian tanah susur akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat melebihi tempoh dua jam.
Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Keadaan laut bergelora dan angin kencang adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan
yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak berasas melalui media-media sosial yang boleh mengakibatkan panik dan kekhuatiran kepada orang ramai. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu a'lam Bissawab.