KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MONSUN TIMUR LAUT 23 NOVEMBER 2019
23 Nov 2019
Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki Monsun Timur Laut menjelang akhir bulan November 2019 dan dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2020. Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember dan Januari), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang tertinggi berbanding dengan bulan-bulan lain. Semasa tempoh ini, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi. Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan turunan hujan.
Semasa Musim Tengkujuh adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian bahawa risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan risiko kejadian tanah susur akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat melebihi tempoh dua jam. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora.
Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua, dan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat keadaan cuaca terkini boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu a'lam Bissawab.