SIARAN AKHBAR TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI KE TUJUH MONSUN PERALIHAN

16 Oct 2019

Selasa, 15hb Oktober 2019 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ketujuh, berikutan dari taklimat mengenai Monsun Barat Daya yang telah diadakan pada bulan Jun 2019 yang lalu. Seramai 127 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta orang awam telah hadir mengikuti taklimat yang diadakan di Auditorium Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif Jabatan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan, kumpulan Ekonomi dan Industri, Pembinaan, Syarikat Insurans, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pihak Media Massa.

Matlamat utama taklimat ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam dan diharap akan dapat memudahcara kesiap-siagaan kumpulan pengguna-pengguna dalam menghadapi cuaca pada masa sekarang. Selain itu, taklimat ini juga bertujuan untuk meningkatkan kepekaan mengenai cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi Monsun Peralihan yang bermula pada bulan Oktober dan berakhir pada hujung bulan November.

Di sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan dengan kekuatan lemah ke sederhana memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian seperti pembentukan awan ribut petir di negara kita. Keadaan cuaca cenderung panas semasa waktu siang, manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang, dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi.
Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh Monsun Peralihan ini.

Dalam hal ini, pihak kami ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka akan keadaan cuaca dengan mengikuti perkembangan cuaca negara melalui maklumat-maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan kami. Kepekaan mengenai cuaca semasa akan membolehkan langkah-langkah persediaan dapat dibuat untuk memastikan keselamatan harta-benda dan juga nyawa. Semasa cuaca aktif, para pengguna jalan raya disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dan terus sentiasa berwaspada semasa memandu dan sejauh yang mungkin untuk mengelakkan kawasan-kawasan yang mudah banjir terutama sekali jika amaran cuaca berkenaan dikeluarkan. Para pelaut juga disarankan untuk mengambilkira maklumat, amaran dan nasihat cuaca sebelum merancang membuat aktiviti di laut.

Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini telah disampaikan oleh Dayang Harnina binti Morani, Pegawai Kajicuaca, Ahli Meteorologi dari BDMD. Selain dari itu, satu taklimat mengenai 'Pembenihan Awan' juga turut dikongsikan oleh Dayang Kelly Ng Swee Moi, Pegawai Kajicuaca. Antara aktiviti lain semasa acara ini adalah promosi dan penjualan buku coffee table Jabatan bertajuk Nubivagant With Wondrous Scenes of The Abode of Peace, promosi aplikasi bimbit mudah alih Brunei WX, media sosial dan kod amaran cuaca berwarna BDMD.