KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 01 OKTOBER 2019

01 Oct 2019

1. Keadaan Secara Am:

Negara Brunei Darussalam pada masa ini sudah berada dalam Monsun Peralihan iaitu tempoh peralihan antara Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut yang biasanya berakhir pada hujung bulan November.

Pada masa ini, taufan 'MITAG' berada di koordinat 27.05°N 122.30°E, di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik pada jam 5:45 pagi waktu tempatan dan dijangka akan terus bergerak ke Utara menjauhi Negara Brunei Darussalam. Taufan 'MITAG' dijangka tidak akan mempengaruhi cuaca di negara kita.

2. Keadaan Cuaca Brunei:

Di sepanjang tempoh Monsun Peralihan ini, kesan angin tempatan dengan kekuatan lemah ke sederhana memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian seperti pembentukan awan ribut petir di negara kita. Keadaan cuaca cenderung panas semasa waktu siang manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi. Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini.

Manakala pada 30 September 2019, Stesen Pencerapan Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah mencatatkan jumlah turunan hujan sebanyak 254 mm, satu jumlah yang menghampiri jumlah purata bagi sebulan untuk bulan September iaitu 260.5 mm yang menyebabkan beberapa kawasan
di Negara Brunei Darussalam mengalami banjir kilat.

Pada malam ini, cuaca hujan berpetir dijangka berlaku di kebanyakkan kawasan di semua daerah dengan risiko banjir kilat berlaku di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Sementara itu, keadaan laut dijangka akan berada di bawah paras 1.0 meter sepanjang minggu ini.

3. Nasihat Cuaca:

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam menasihati orang ramai untuk sentiasa peka dengan maklumat dan ramalan cuaca bagi mengambil langkah-langkah awal yang sewajarnya jika cuaca aktif dijangka berlaku. Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman
sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a'lam Bissawab.