KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 30 SEPTEMBER 2019
30 Sep 2019
Negara Brunei Darussalam kini sudah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan antara Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut yang biasanya berakhir pada hujung bulan November.
Sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan dengan kekuatan lemah ke sederhana memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian seperti pembentukan awan ribut petir di negara kita. Keadaan cuaca cenderung panas semasa waktu siang manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi.
Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini.
Sementara itu, pembentukan sistem siklon, seperti ribut tropika dan taufan, di kawasan rantau Barat Laut Lautan Pasifik masih berpotensi berlaku semasa tempoh ini. Jika sistem siklon terbentuk dan tertakluk kepada jarak lokasi sistem siklon dari kawasan negara, negara mungkin akan mengalami keadaan cuaca hujan berintensiti lebat berserta angin kencang sekali-sekala.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam menasihati orang ramai untuk sentiasa peka dengan maklumat dan ramalan cuaca serta mengambil langkah sewajarnya jika berlaku cuaca aktif. Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu aÂ’lam Bissawab.