KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 21 SEPTEMBER 2019
21 Sep 2019
1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, dimana aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah Barat Daya. Pembentukan sistem siklon, seperti ribut tropika dan taufan, di kawasan rantau Barat Daya Pasifik dan Laut Cina Selatan juga aktif pada musim ini.
Pada jam 3:00 petang waktu tempatan hari ini, Taufan 'Tapah' telah dikesan di 27.4 °N 125.5°E di Lautan Cina Timur. Sistem berkenaan dijangka bergerak ke arah utara dan menjauhi rantau kita. Negara Brunei Darussalam tidak akan terjejas oleh sistem taufan berkenaan.
Sementara itu, keadaan cuaca kering berterusan berlaku di kebanyakan kawasan selatan ASEAN dengan kelompok titik panas terus dikesan di rantau ini. Kebanyakan asap jerebu terus ditiup oleh angin ke arah negara kita dan menyebabkan kejadian jerebu rentas sempadan.
Mengikut model ramalan cuaca berangka, aliran angin Negara Brunei Darussalam berkemungkinan akan bertukar dari arah Barat Daya ke arah Timur Laut atau Timur pada hujung minggu ini hingga awal minggu hadapan.
2. Keadaan Cuaca Brunei:
Stesen Pencerapan Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan jarak penglihatan mendatar antara 3 hingga 6 km (dibandingkan dengan jarak penglihatan mendatar melebihi 10 km pada waktu cuaca baik) sejak tempoh 24 jam kebelakangan disebabkan keadaan cuaca berjerebu.
Negara kita tidak akan terjejas oleh Taufan 'Tapah'. Namun, hujan atau hujan berpetir berasingan mungkin akan menjejaskan beberapa kawasan negara. Manakala, keadaan berjerebu sedikit hingga sederhana dijangka akan berterusan dan berkemungkinan akan beransur-ansur berkurangan bagi beberapa hari yang akan datang, disebabkan perubahan tiupan arah angin.
3. Nasihat Cuaca:
Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah sewajarnya semasa keadaan berjerebu. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahu a'lam Bissawab.