KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 19 SEPTEMBER 2019

19 Sep 2019

1. Keadaan Secara Am:

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, dimana aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah Barat Daya.
Tidak ada pembentukan sistem siklon atau ribut tropika dikesan di rantau kita pada masa ini.
Sementara itu, keadaan cuaca kering berterusan berlaku di kebanyakan kawasan selatan ASEAN dengan kelompok titik panas terus dikesan di rantau ini. Kebanyakan asap jerebu ditiup oleh angin Barat Daya ke arah negara kita dan menyebabkan kejadian jerebu rentas sempadan.
Mengikut model ramalan cuaca berangka, aliran angin Negara Brunei Darussalam berkemungkinan akan bertukar dari arah Barat Daya ke arah Timur Laut
atau Timur sekitar hujung minggu ini.

2. Keadaan Cuaca Brunei:

Stesen Pencerapan Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan jarak penglihatan mendatar antara 3 hingga 4 km (dibandingkan dengan jarak penglihatan mendatar melebihi 10 km pada waktu cuaca baik) sejak tempoh 24 jam kebelakangan disebabkan keadaan cuaca berjerebu.
Keadaan berjerebu sedikit hingga sederhana dijangka akan berterusan dan berkemungkinan akan beransur-ansur berkurangan sekitar hujung minggu atau awal minggu depan, disebabkan perubahan tiupan arah angin.

3. Nasihat Cuaca:

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah sewajarnya semasa keadaan berjerebu.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu aÂ’lam Bissawab.