KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 JUN 2019

25 Jun 2019

Monsun Barat Daya dijangka akan bermula di Negara Brunei Darussalam pada minggu terakhir bulan Jun ini, di mana aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah Barat Daya. Pada musim Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir adalah berkurangan jika dibandingkan dengan musim Monsun Peralihan (3 bulan yang lalu). Monsun Barat Daya biasanya akan berterusan sehingga bulang September. Semasa kemuncak monsun ini (sekitar bulan Ogos), Negara kebiasaannya mengalami keadaan berjerebu disebabkan oleh cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Musim monsun Barat Daya juga adalah selari dengan musim kejadian sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di kawasan Timur Laut Pasifik dan Laut China Selatan. Sekiranya sistem siklon terjadi, Negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali sekala disertai dengan hujan ribut petir berserta angin kencang, tertakluk kepada jarak lokasi sistem tersebut daripada kawasan Negara kita.

Di samping itu, keadaan El-Nino telah dikesan di Lautan Pasifik sejak awal tahun ini. Pengaruh dari cuaca sinoptik ini boleh menyebabkan kepada sedikit peningkatan suhu udara harian yang kadang-kadang melebihi 34℃. Kebanyakan pusat iklim antarabangsa meramalkan bahawa keadaan El-Nino akan berterusan, dengan kebarangkalian 66%, sehingga sekitar awal September 2019.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a'lam Bissawab.