KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 6 MAC 2019

06 Mar 2019

KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
6 MAC 2019

Negara Brunei Darussalam kini masih berada di dalam fasa kedua musim Timur Laut. Mengikut klimatologi Negara Brunei Darussalam, bulan Mac adalah dikategorikan sebagai bulan terkering dengan jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.

Keadaan atmosfera yang agak stabil masih dijangka berterusan sehingga hujung bulan Mac, dengan aktiviti turunan hujan yang minimal. Negara juga sekali-sekala mengalami keadaan sedikit berangin semasa terjadinya peningkatkan luruan angin timur laut di rantau kita. Semasa tempoh yang agak kering ini, kejadian hujan atau hujan berpetir berasingan masih berpotensi berlaku di sekitar kawasan negara terutama pada waktu awal pagi dan lewat petang ke awal malam. Impak-impak
cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua musim Timur Laut ialah:

• Keadaan sedikit kering akibat pengurangan aktiviti turunan hujan;
• Kecenderungan bagi pembentukan kabus dan kabut semasa waktu pagi yang akan mengakibatkan pengurangan jarak penglihatan mendatar;
• Merasa panas di waktu siang disebabkan peningkatan suhu udara melebihi 34 darjah Celsius;
• Keadaan kering yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kebakaran belukar atau hutan.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a'lam Bissawab.